June 18, 2014

Beri Peluang Anak Anda Bermain

07:32

Zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling menyeronokan. Mana tidaknya, sepanjang masa dihabiskan dengan bermain.

Selain tidak perlu memikirkan mengenai masalah sekeliling, menjadi seorang kanak-kanak juga bermakna anda bebas bermain dan meneroka kehidupan ini mengikut kemahuan sendiri.

Begitu pun, tidak ramai ibu bapa yang sanggup mengambil risiko membenarkan anak mereka bermain dan bebas menerokai alam di sekeliling mereka.

Ini kerana naluri semula jadi ibu bapa sememangnya sentiasa mahu melindungi anak meskipun tanpa sedar ini boleh menyebabkan mereka kurang berdikari.

Keadaan itu tidak boleh diambil mudah kerana kanak-kanak seharusnya diberi peluang melalui pengalaman sendiri untuk melatih mereka berdikari bagi menghadapi kehidupan masa depan yang lebih mencabar.


Pakar Perkembangan Kanak-kanak Fisher Price Asia Tenggara, Carrie Lupoli berkata, bermain sangat penting kerana ia fitrah semula jadi bagi kanak-kanak yang sedang melalui pelbagai fasa sebelum mencapai tahap kedewasaan.

Bermain adalah peringkat permulaan kanak-kanak pada proses pembelajaran, membina perhubungan serta kemahiran harian dalam membina perkembangan otak.

“Ramai ibu bapa tidak tahu tempoh usia sebulan sehingga mencecah tiga tahun ke atas adalah masa yang sangat kritikal dalam membantu fungsi perkembangan otak serta pembelajaran mereka.

“Dalam tempoh itu, kanak-kanak perlu diajar untuk meneroka apa yang ada di sekitar mereka tanpa rasa takut untuk mencuba,” katanya.

Menurut Carrie, setiap ibu bapa seharusnya menyediakan asas yang kukuh kepada anak mereka dan bukan hanya mengutamakan pencapaian pembelajaran semata-mata.

Ibu bapa seharusnya menggalakkan anak supaya berfikir di luar kotak dan lari daripada kebiasaan yang sering mereka lakukan.

“Pemikiran kreatif ketika bermain menunjukkan minda kanak-kanak sedang berkembang secara semula jadi.

“Justeru, sebagai langkah sokongan, anda boleh membeli peralatan mainan yang dapat membantu mereka belajar dan berdikari sesuai dengan peringkat umur,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa di negara barat contohnya mula mendidik anak mereka untuk berdikari ketika masih kanak-kanak. Tidak hairanlah jika remaja di barat yang berusia 18 tahun sudah keluar dari rumah ibu bapa untuk belajar hidup sendiri.

“Situasi berkenaan berbeza dengan masyarakat di Asia kerana ada sesetengahnya yang masih selesa tinggal bersama keluarga meskipun sudah memasuki alam pekerjaan atau berumah tangga,” katanya.

Carrie berkata, ibu bapa perlu mendidik anak masing-masing dengan apa yang mungkin diperlukan ketika mereka dewasa kelak.

Dalam hal berkenaan katanya, ibu bapa perlu memberi sokongan penuh walaupun ada ketikanya apa yang berlaku bukan seperti yang mereka rancang.

“Dalam mendidik anak, pembelajaran itu perlu sentiasa berterusan kerana perkembangan minda kanak-kanak hanya mula stabil ketika mereka berusia enam tahun.

“Untuk itu, ibu bapa perlu mengambil peluang yang ada untuk mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri kanak-kanak sejak peringkat awal bagi memastikan mereka mempunyai asas yang kukuh,” katanya.

Sementara itu jelasnya, walau sesibuk mana sekali pun, ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan perkembangan minda anak mereka.

Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab berkenaan kepada pengasuh atau guru di sekolah semata-mata.

“Sebaiknya, ibu bapa perlu selalu meluangkan masa bersama anak sama ada mengajak mereka berbual atau menyertai permainan bersama.

“Bermain sambil belajar bukan saja untuk hiburan, tetapi dapat membantu memberi banyak pengajaran berguna kepada si kecil.

“Masa berharga itu bukan saja membuatkan si kecil berasa dihargai, malah ia juga dapat mempengaruhi perkembangan minda dan fizikal dengan lebih sempurna,” katanya.-Harian Metro

Written by

We are Creative Blogger Theme Wavers which provides user friendly, effective and easy to use themes. Each support has free and providing HD support screen casting.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2013 Petua Keibubapaan. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top