Google Image |
Penyakit ini boleh menyerang kanak-kanak mahupun orang dewasa. Menurut kajian, jumlah kanak-kanak diserang penyakit asma adalah 10 hingga 20 peratus dan biasanya ia tidak boleh diubati.
Pun begitu ia akan hilang dengan sendiri apabila kanak-kanak dewasa. Secara global, hampir 300 juta individu menghidap asma dan bilangan ini dijangka meningkat 100 juta lagi menjelang 2025.
Kebarangkalian kanak-kanak mendapat asma antara usia 0 hingga 14 tahun sebanyak 4.5 peratus manakala bagi orang dewasa berusia 15 tahun ke atas ialah 4.1 peratus.
Bagi kanak-kanak yang menghidapi asma sederhana, serangan hilang apabila mencapai usia 12 hingga 13 tahun. Manakala 50 hingga 60 peratus sembuh apabila mencapai usia 20 hingga 25 tahun, sementara 20 peratus lagi mendapat asma berterusan dan hanya sebilangan kecil sembuh.
Menyedari pentingnya membanteras penyakit itu, terutama di kalangan kanak-kanak, syarikat penjagaan kesihatan pengguna dan farmaseutikal, GlaxoSmithKline (GSK) memperkenalkan Fluticasone propianate iaitu alat sedut dos bermeter yang mempunyai kesan nyata atasi anti keradangan dalam paru-paru.
Alat sedutan yang boleh didapati dalam dos 50 mikro gram itu dikhaskan bagi kanak-kanak penghidap asma berusia setahun ke atas yang dapat mengurangkan gejala dan eksaserbasi asma pesakit yang sebelumnya dirawat menggunakan bronkodilator atau terapi propilaktik lain.
“Asma adalah penyakit kronik paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Senario ini berlaku di semua negara tanpa mengambil kira tahap pembangunan,” kata Pengerusi Majlis Asma Malaysia, Dr Norzila Mohamed Zainudin.
Tambahnya, kebanyakan pesakit asma ada keperluan berkaitan penyakit yang belum ditemui, seterusnya menyebabkan tahap kawalan asma lemah yang mungkin disebabkan perbezaan tanggapan mengenai kawalan penyakit itu dan sasaran rawatan oleh pesakit dan pakar perubatan masing-masing.
“Secara am, pesakit hanya mahu sembuh dan mengelak gangguan dalam kegiatan sosial mereka, manakala pakar perubatan menekankan keperluan mengurangkan keradangan salur udara dan responsi keterlaluan bagi mencapai pengawalan asma,” katanya.
“Ini penting bagi kanak-kanak penghidap asma untuk mengurangkan pemodelan semula salur udara yang mungkin menyebabkan gangguan tetap salur udara apabila dewasa,” katanya.
Ubat asma terbahagi kepada dua iaitu kelegaan dan kawalan. Ubat kelegaan mempunyai kesan jangka pendek yang boleh membantu menghentikan gejala yang menyerang manakala ubat kawalan membantu mengawal asma bagi sesetengah tempoh dengan mengurangkan keradangan dan mukus pada salur udara.
Sementara itu, Pengurus Perhubungan Perubatan GSK, Dr Thravin G Nathan berkata, penyakit asma kecil boleh menyebabkan morbiditi tinggi, terutama pada tempoh apabila ia kurang dikawal.
“Ia menyebabkan gangguan kepada aktiviti harian normal dan pendidikan, seterusnya membebankan keluarga kanak-kanak penghidap asma. GSK komited meningkatkan pengurusan dan rawatan asma lebih berkesan dengan menyediakan terapi kawalan peringkat pertama bagi kanak-kanak dan dewasa.
“Kajian secara double-blind plasebo terkawal selama enam bulan yang dijalankan terhadap 34 kanak-kanak berusia enam hingga 24 bulan menunjukkan keberkesanan dan ia selamat digunakan,” katanya.
Soalan Lazim:
Asma adalah penyakit alahan yang mengganggu saluran udara (bronkus). Ketika berlaku tindak balas alahan, bronkus menjadi sempit dan dipenuhi lendir. Ini menyebabkan kesesakan nafas. Serangan asma boleh menakutkan anak kerana perasaan lemas menyebabkan anak panik dan ini membuat pernafasan semakin sukar.
Punca awal menyebabkan alahan, iaitu alergen seperti debunga atau habuk rumah, yang biasanya dibawa oleh angin. Bagi anak menghidap asma, tekanan emosi dan senaman boleh menyebabkan serangan.
Asma biasanya menyerang kanak-kanak berumur dua tahun ke atas. Keadaan ini biasanya masalah keturunan dan disusuli penyakit alahan lain seperti ekzema. Namun, kebanyakan kanak-kanak pulih semakin umur meningkat.
Kebanyakan bayi berumur kurang satu tahun mempunyai bunyi nafas berdehit jika menghidap bronkitis. Ini berlaku apabila saluran udaranya yang kecil menjadi radang.
Serangan asma mungkin menakutkan tetapi jika diberi ubat dan nasihat doktor diikuti, anak anda tidak akan menghadapi kerumitan.
l Tanda-tanda
1. Sesak nafas
2. Rasa lemas
3. Bunyi nafas yang berdehit
4. Batuk yang berterusan
5. Bibir kelihatan biru (sianosis) disebabkan kekurangan oksigen
Segera bawa anak berjumpa doktor apabila mengalami asma. Jika ia berlaku ketika anak tidur, dudukkan dan sokong belakangnya dengan bantal. Anda juga boleh tundukkan anak di atas kerusi dan lengannya diletakkan pada belakang kerusi supaya beban pada dadanya diringankan. Ini membolehkan otot dada mengeluarkan udara dengan lebih cekap.
Cuba bertenang kerana keresahan hanya membuat anak anda lebih takut. Ketika menunggu doktor, cuba alihkan perhatian anak kepada benda lain, misalnya nyanyikan lagu bagi membantu anak melupakan keadaan nafasnya yang berdehit.
Doktor mungkin mengesyorkan penggunaan bronkodilator untuk membuka bronkus dengan mengendurkan otot. Dadah ini disedut terus dalam bronkus. Serangan yang teruk mungkin memerlukan rawatan hospital dan dos lebih tinggi diberikan secara sedutan atau titisan intravena.
Jika ada tanda jangkitan dada, antibiotik mungkin disyorkan. Doktor akan menerangkan cara menghalang serangan akan datang dan mungkin menentukan alergen sama ada melalui ujian bagi alergen tertentu seperti debunga dan habuk rumah.
Doktor akan memberi bekalan kecil dadah bronkodilator, sama ada dalam bentuk cecair atau kapsul untuk dimasukkan ke dalam penyedut. Ini harus diambil sebaik serangan bermula. Doktor akan menasihatkan anda supaya memberitahunya jika anak mengalami serangan teruk atau jika serangan tidak reda walaupun anak diberi dua dos bronkodilator.
Doktor mungkin mengesyorkan dadah steroid jika langkah lain tidak dapat menghalang serangan berikutnya. Dos steroid rendah mungkin perlu disedut tiga atau empat kali sehari atau jika tindakan ini tidak berkesan, dos lebih tinggi diberi dalam bentuk pil.
Jika doktor gagal menentukan alergen, cuba tentukan sendiri dan catat bila serangan berlaku dan waktunya. Pastikan rumah bebas daripada alergen biasa seperti kekabu selain gunakan pembersih vakum untuk membersihkan habuk di rumah.
Kebanyakan pesakit asma alah terhadap haiwan. Jika anda memelihara haiwan kesayangan, minta bantuan rakan menjaganya selama beberapa minggu bagi menentukan sama ada kekerapan serangan asma anak anda berkurangan.
Pastikan anak membawa ubat setiap masa. Maklumkan kepada pihak berkuasa sekolah mengenai kemungkinan serangan ini berlaku dan rujuk kepada pakar fisioterapi supaya anak anda boleh mempelajari cara bernafas untuk membantunya menenangkan diri ketika berlaku serangan.
Galakkan anak duduk atau berdiri tegak supaya paru-parunya mempunyai lebih ruang. Jangan biarkan anak menjadi terlalu gemuk kerana ini membebankan paru-paru.
Senaman ringan membantu pernafasan anak tetapi latihan berat boleh membawa kepada serangan asma.
Selain latihan jasmani, syorkan anak anda memakai lencana ‘Medic Alert’.-sumber
0 comments:
Post a Comment